1,324 spesis tumbuhan di Sarawak didokumentasikan

KUCHING: Sejumlah 1,324 spesies tumbuhan di Sarawak telah didokumentasikan yang berguna untuk perubatan, makanan dan sebagainya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata dokumentasi oleh Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) itu adalah berdasarkan pengetahuan tradisional di mana spesies-spesies tumbuhan tersebut telah digunakan masyarakat peribumi.

“Daripada jumlah ini, sebanyak enam tumbuhan telah dipilih untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol pada Majlis Makan Malam Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-18 di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Hamden Mohammad.

Menurut Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan SBC untuk memulakan R&D berasaskan bioteknologi intensif mengenai sumber biologi yang terdapat di seluruh Sarawak.

Beliau menambah, ia terutama melibatkan spesies tumbuhan yang digunakan masyarakat pribumi untuk makanan, perubatan dan sebagainya. Justeru untuk terus mengeksploitasikan potensi sumber semula jadi Sarawak, Awang Tengah berkata Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Taman Bio-Valley di Miri yang bernilai RM60.6 juta, di mana terdapat kemudahan kilang perintis untuk penyelidikan dan pengkomersialan.

Katanya kemudahan baharu ini akan dikendali dan diurus dengan kerjasama Curtin University Kampus Sarawak. Sarawak mempunyai salah satu daripada hutan hujan tertua di dunia, yang dianggarkan berusia 130 juta tahun. Dengan usia, sumber kekaya-an dan sumber biologi yang pelbagai, ia telah mencipta pelbagai biokimia yang boleh memberi manfaat kepada manusia.

Image

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi kami melalui kontak tertera:

KM20, Jalan Borneo Heights, Semengoh, 93250 Kuching, Sarawak, Malaysia.
+6082610610

Maklumat Lanjut

Perkhidmatan Atas Talian

Terma

Pautan Berguna