Sabtu, September 23, 2017

Pin It Button

SBC telah menemubual Pegawai Penyelidik, Hii Mei Mei baru-baru ini untuk berkongsi pengalaman beliau di Texas Tech University, USA di bawah program "Borlaug International Agricultural Science and Technology Fellowship". Berikut adalah sesi temuramah bersama beliau setelah berkongsi penerbitan kertas penyelidikan terbaru beliau dalam Nature Research Journal (September 2016), yang menunjukkan hasil daripada kerja-kerja yang beliau lakukan di dalam program tersebut.

Tentang Program "Borlaug International Agricultural Science and Technology Fellowship":

Program "Norman E. Borlaug International Agricultural Science and Technology Fellowship" telah ditubuhkan oleh "United States Department of Agriculture (USDA)" pada Mac 2004 untuk menghargai Nobel Laureate Norman E. Borlaug.  Ianya ditadbir dan dibiayai penuh oleh USDA’s Foreign Agricultural Services (FAS). Objektif utama program ini adalah seperti berikut:

  • Untuk membantu negara-negara membangun mengukuhkan amalan pertanian mampan dengan menyediakan latihan saintifik dan peluang kerjasama dalam penyelidikan
  • Untuk meningkatkan pengetahuan saintifik dan menggalakkan kerjasama jangka panjang dengan penyelidik di universiti bergeran tanah Amerika Syarikat , agensi-agensi kerajaan dan pusat penyelidikan antarabangsa.

Soalan: Beritahu kami tentang yang pemilihan anda untuk Program Fellowship Borlaug.

MeiMei: Pada tahun 2014, dengan galakan daripada Pengurusan SBC, saya memohon untuk program latihan penyelidikan di bawah Program Fellowship. Saya amat terkejut apabila saya ditawarkan dalam program Fellowship ini, yang saya pohon melalui Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), untuk program selama 12 minggu di Universiti Teknologi Texas di Lubbock, Amerika Syarikat dari 12 Januari-6 April 2014 ..

Soalan: Apakah jenis-jenis kerja penyelidikan yang anda lakukan semasa 12 minggu di Texas Tech University? ..

MeiMei: Sepanjang program ini, saya telah diselia oleh Dr. Venugopal Mendu. Dr. Mendu ialah Penolong Profesor di Jabatan Plant & Soil Science, Texas Tech University. Beliau pakar dalam fisiologi tumbuhan dan biokimia. Salah satu matlamat beliau adalah untuk mengenal pasti dan mencirikan genetik yang terlibat dalam biosintesis dinding sel tumbuhan menggunakan model tumbuhan Arabidopsis, yang merupakan tumbuhan berbunga kecil yang digunakan secara meluas sebagai model organisma dalam penyelidikan tumbuhan. Di samping itu, kerja-kerja makmal Dr. Mendu juga ke atas dinding sel biologi tumbuhan tanaman seperti kapas, jagung dan sekoi.

Tugas saya adalah untuk mengenal pasti enzim yang mengurai sel dinding tumbuhan untuk pengeluaran biofuel, dan untuk ini, saya melakukan analisa keseluruhan genom untuk sepuluh bakteria tanah yang unik dari Sarawak. Salah satu keluarga enzim pengurai dinding sel adalah laccases. Saya terlibat dalam membuat anggaran enzim penguraian dinding sel menggunakan "Zymography". Penyelidikan yang dijalankan oleh pasukan Dr Mendu adalah untuk mengenal pasti dan mencirikan genetik laccase, yang akan digunakan untuk memperbaiki pembangunan kapas serat.

Tujuan saya menjalankan projek ini adalah untuk melihat dimanakah kajian ini akan dapat membantu Sarawak. Bakteria laccases juga terlibat dalam penguraian dinding sel yang memainkan peranan penting dalam pengeluaran bio-ethanol daripada tumbuhan biojisim. Penyelidikan mengenai biojisim mempunyai aplikasi kepada industri SCORE (Sarawak Corridor of Renewable Energy).

Soalan: Beritahu kami sedikit sebanyak tentang persekitaran kerja yang anda alami di sana.

MeiMei: Persekitaran kerja adalah berbeza. Daripada bekerja sebagai seorang penyelidik seperti yang saya lakukan di SBC, di Texas Tech saya adalah seorang pelajar. Setiap hari Isnin, kumpulan kami akan mengadakan mesyuarat kumpulan untuk membincangkan prestasi penyelidikan di makmal. Di samping itu, setiap orang akan membentangkan satu kertas jurnal yang berkaitan dengan penyelidikan mereka untuk perbincangan.

Di permulaan latihan saya, saya memberikan pengenalan ringkas tentang apa yang kami lakukan di SBC. Ianya amat menarik kerana terdapat beberapa pelajar di sana tidak pernah mendengar tentang Sarawak dan ia adalah kali pertama mereka diperkenalkan kepada SBC, serta peranan Program Dokumentasi Pengetahuan Tradisional dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan kami.

Soalan: Bagaimanakah latihan ini memberi manfaat kepada anda dan kerja-kerja penyelidikan di SBC?

MeiMei: Pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi semasa program ini membantu saya membina keyakinan, terutamanya dalam penjujukan DNA, protein dan kerja-kerja tentang enzim. Ia juga membantu dalam memperbaiki persiapan, perancangan dan menyusun eksperimen dan penyelidikan. Persekitaran kerja yang berbeza membuka mata dan peluang untuk saya belajar daripada pasukan di Texas Tech, serta menjalin perhubungan supaya kita boleh berkongsi teknik, maklumat dan pengetahuan dalam penyelidikan.

Soalan: Kembali kepada kerja ke atas gentian kapas. Bagaimana ianya penting kepada sains dan adakah ia boleh digunakan ke atas tumbuh-tumbuhan atau tanaman lain?

MeiMei: Semasa latihan saya, saya telah diberi peluang untuk menyertai penyelidikan pasukan itu ke atas peningkatan kualiti gentian kapas. Dalam eksperimen ini, biosintesis dinding sel genetik menggunakan Arabidopsis di asingkan dan dicirikan untuk meningkatkan kualiti gentian kapas. Penemuan daripada kajian ini adalah untuk menyediakan industri tekstil dengan gentian kapas yang boleh diproses dengan lebih cekap dan membuat produk-produk tekstil yang lebih berkualiti.

Pada asasnya, kajian ini bertujuan untuk mengurangkan pengeluaran lignin, yang menyebabkan pengurangan biojisim dalam tumbuh-tumbuhan. Pengurangan dalam lignin akan meningkatkan hasil biojisim, dan bercakap tentang kapas, penghasilan kapas yang panjang, seragam, halus, dan serat yang kuat dengan tahap pencemaran yang rendah. Prinsip kajian ini boleh digunakan untuk mengubah komposisi lignin dalam tumbuh-tumbuhan lain yang menghasilkan biojisim seperti pokok kelapa sawit, tanpa mengganggu pertumbuhan tumbuhan tersebut.

Soalan: Apakah hasil daripada kajian yang telah dijalankan?

MeiMei: Sebagai hasil daripada kajian ini, kertas kerja bertajuk "Genome-wide identification of multifunctional laccase gene family in cotton (Gossypium spp.); expression and biochemical analysis during fiber development" telah diterbitkan pada 29 September 2016 di Nature Research Journal.

Penulis utama kertas ini adalah Dr Venugopal Mendu dan pasukannya, Vimal Kumar Balasubramanian, Krishan Mohan Rai, dan Sandi Win Thu. Saya juga berterima kasih kepada Dr Mendu dan pasukannya kerana mengiktiraf sumbangan saya kepada penyelidikan dan kertas kerja, selama saya bersama mereka.

Mei Mei